Friday 23 March 2012

Johara Pagi Era Rai Pelajar Cemerlang SPM

KUALA LUMPUR, 22 MAC 2012: Selain seronok dapat bersama Johan, Haniff dan Ray untuk Slot Johara Pagi Era, dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Nik Muhammad Aqil Roslan dan Prabu Sashti Rajan A/L Marimuthu terkejut apabila diberikan hadiah berupa Samsung Galaxy Tab 7Plus.
"Ini satu pengalaman baru bagi saya. Tidak semua orang berpeluang bersama tiga penyampai popular ini. Saya rasa bertuah. Tambahan lagi, semua warga kerja Johara sangat mesra dan sporting. Ia membuatkan saya tambah seronok.
"Tentang hadiah itu, sejujurnya saya sedang menyimpan wang untuk memiliki telefon berkenaan. Saya memang menyimpan hasrat untuk menggunakan Samsung Galaxy Tab memandangkan ramai kawan saya telah menggunakannya.
"Memang tidak sangka, hasrat saya tercapai apabila Era FM memberikannya. Terima kasih kerana menghargai kejayaan saya," ujar Prabu yang ditemui portal murai.com.my di konti radio Era FM, di sini pagi tadi.
Menyokong pendapat teman akrabnya itu, Nik juga tergamam dengan pemberian hadiah tidak dijangka tersebut.
"Saya betul-betul seronok berpeluang bersama Johara. Sungguhpun saya rasa ada orang lain yang lebih cemerlang daripada saya, tapi mereka tidak dapat apa yang saya peroleh hari ini.
"Pada awalnya saya melihat mereka seperti orang asing saja. Tapi setelah memulakan tugas,boleh saya ibaratkan mereka seperti kawan dan abang-abang kepada saya.
"Terus-terang, saya amat terkejut dengan hadiah ini. Mulanya saya difahamkan akan menerima sijil penghargaan saja, tetapi saya tidak menyangka selepas disuruh baca apa yang tertulis di sijil itu, saya dan Prabu menerima Samsung Galaxy Tab. Terima kasih Era FM," katanya.
Dalam pada itu, dua pelajar berkenaan ternyata tidak gentar menghadapi kehidupan mendatang walaupun sebelum ini mereka pernah mengikuti cerita yang berlaku kepada pelajar cemerlang SPM. Contoh terdekat semestinya Nur Amalina.
"Saya tidak takut. Buat apa saya nak takut kalau kita tahu diri kita siapa. Apa yang penting, sebelum melaksanakan sesuatu saya akan berfikir panjang perkara yang mungkin berlaku sebelum dan selepas kejadian.
"Saya akan berfikir lebih awal sebelum bertindak. Tidak akan terburu-buru mengikut nafsu. Insya-Allah perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku," jelas Nik.
Apa sekalipun, warga murai.com.my turut mengucapkan sekalung tahniah buat mereka berdua serta pelajar SPM lain yang mendapat keputusan cemerlang.
Add caption
Buat yang kurang mendapat keputusan baik, SPM bukanlah penghujung pendidikan kerana ianya adalah permulaan langkah baru selepas menempuh alam persekolahan dalam tempoh masa 12 tahun.

No comments:

Post a Comment