Monday 26 March 2012

Detik Paling Manis Buat Awal Ashaari

KUALA LUMPUR, 26 MAC 2012: Meskipun mereka sudah merancang untuk berkahwin tidak lama lagi, namun pelakon kacak Awal Ashaari merasakan misi hidupnya tidak akan lengkap sekiranya masih belum melamar buah hatinya, Scha Al-Yahya.
Cadangan yang diberikan program hiburan terbaru di Astro Ria, Propaganza supaya pasangan berkenaan mengumumkan tarikh perkahwinan mereka, telah menjadi platform terbaik buat Awal Ashaari untuk melamar Scha Al-Yahya secara terbuka sambil disaksikan jutaan peminatnya.

Awal Ashaari dengan beraninya telah melamar Scha Al-Yahya secara mengejut di set penggambaran Propaganza, tengah hari semalam dengan menghulurkan sebentuk cincin berlian sebagai tanda lamarannya itu diterima.
Bercakap kepada portal murai.com.my, Awal Ashaari berkata, dia sedar perancangan untuk mengahwini Scha Al-Yahya sudahpun mendapat persetujuan kedua-dua belah keluarga, bagaimanapun dia masih belum mendapatkan kata setuju secara rasmi daripada pelakon Awan Dania berkenaan.
"Macam mana saya ingin berkahwin dengan Scha atau mengumumkan tarikh perkahwinan kami berdua, sedangkan secara undang-undangnya saya masih belum lagi melamar Scha atau bertanya empunya badan sendiri.
"Syukur Alhamdulillah, inilah detik paling manis yang pernah saya alami dalam hidup. Sekali gus menjadikan misi saya untuk mengahwini Scha terlaksana," katanya dengan nada gembira.
Tambah Awal lagi, memang dia pernah menyarungkan cincin persahabatan kepada Scha iaitu pada dua tahun lalu, bagaimanapun untuk menyarungkan cincin bagi menjadi suri dalam hidupnya masih belum terjangkau oleh akalnya.
Jadi sesuai dengan usia perkenalan mereka yang sudah memasuki 29 bulan iaitu sejak September 2010, Awal merasakan inilah masa paling sesuai untuk dirinya melamar Scha yang telah menghiburkan hatinya sejak sekian lama.
Bercerita mengenai cincin berlian indah Lazare Diamonds yang diberikannya kepada Scha, pengacara itu berkata dia telah pergi mendapatkan cincin berkenaan pada dua hari lalu bersama-sama ibunya dan juga teman baiknya, Dynas Mokhtar.
"Selepas selidik punya selidik, Alhamdulillah saya telah berjumpa dengan cincin paling sesuai untuk Scha yang memang sukakan sesuatu yang ringkas. Saya simpannya di dalam kereta supaya tidak terlupa.
"Saya juga diberi tahu bahawa Scha tidak sukakan bunga, jadi selain cincin dan jambangan bunga, saya berikan dia patung teddy bear yang besar yang memang menjadi kesukaannya," kata Awal berterus terang.
Sementara itu, Scha ketika ditemui selepas pengumuman berkenaan berkata, dia memang tidak menjangka bahawa akan ada kejutan sedemikian rupa ketika di set penggambaran Propaganza kerana kehadiran mereka ke sana hanyalah untuk mengumumkan tarikh perkahwinan mereka saja.
"Alhamdulillah saya dikejutkan dengan benda yang sama sekali tidak dijangka dalam hidup saya. Memang saya nampak relax sekarang ini, tetapi dalam hati Tuhan saja yang tahu.
"Akhirnya saya telah dipertemukan dengan bakal suami saya yang sebenar dan selepas ini jika ada yang bertanyakan macam mana saya dilamar, jadi bolehlah saya kongsikan detik istimewa ini bersama," katanya yang tampil ringkas.
Awal dan Scha bakal mengadakan sebuah majlis sidang media pada 27 Mac ini bagi mengumumkan tarikh perkahwinan mereka yang telah menjadi tanda tanya sejak sekian lama.

No comments:

Post a Comment