BUKIT JALIL, (D5) - Perebutan slot ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 menjadi semakin menarik, apabila Sabtu ini bakal menjadi penentuan buat empat buah pasukan menentukan takdir mereka sendiri.
Peminat negara kembali ceria selepas pasukan Malaysia memulihkan semula maruah selepas diaibkan dalam perlawanan pembukaan dengan mengatasi Laos 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Datuk K. Rajagobal melakukan empat pertukaran selepas tewas Singapura, dengan menggantikan Farizal Marlias di posisi penjaga gol, Wan Zack Hailkal Wan Noor di bahagian sayap kanan, Shakir Shaari (tengah) dan Mahali Jasuli sebagai bek kanan.
Perubahan itu membuatkan gerakan dari tengah lebih tersusun apabila Shakir Shaari lebih bijak melakukan hantaran ke hadapan.
Begitupun, Malaysia mengalami detik sukar apabila menamatkan 45 minit pertama dengan kedudukan seri 1-1.
Amat berbeza sekali semangat para pemain Malaysia dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan, pada minit ke-15 sepakan percuma Safiq Rahim ke sebelah kiri menggegar gawang Laos menceriakan penyokong.
Kegagalan barisan serangan Harimau Malaya memanfaatkan peluang kemudian dihukum Laos yang menyamakan kedudukan 1-1 selepas cubaan Khonesavanh Sihavong terkena Aidl Zafuan Abd Razak lalu menerjah jaringan.
Pasukan Malaysia yang tiada pilihan selain daripada menggandakan asakan tetapi terus buntu dengan ketumpulan jentera serangan.
Bagaikan bangkit daripada tidur, Harimau Malaya bangkit mempamerkan persembahan bertenaga selepas Safee Sali membuka akaunnya dalam pertandingan ini, penyerang Pelita Jaya itu mudah menolak masuk hantaran Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-67.
Pada minit ke-72, Wan Zack meletakkan Harimau Malaya dalam situasi selesa dengan gol ketiga.
Hanya selepas lima minit dimasukkan, Khyril Muhymeen yang masuk menggantikan Safee Sali pada minit ke-73 melakukan larian solo untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Rajagobal bagaikan tidak puas dengan jumlah jaringan besar kemudian memasukkan Baddrol Bakhtiar bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha namun keputusan kekal sehingga wisel penamat.
No comments:
Post a Comment