Sepanyol mengharungi malam ajaib dengan melakar sejarah tersendiri dengan menjadi pasukan pertama yang mengekalkan Kejuaraan Eropah.
Di awal permainan sudah tergambar permainan berat sebelah dengan Azzuri dikerah dibahagian pertahanan kerana Sepanyol lebih agresif.
Gol-gol Sepanyol dijaringkan oleh David Silva dan Jordi Alba pada separuh masa pertama, manakala Fernando Torres dan Juan Mata pula melengkapkan kejayaan La Roja pada 10 minit terakhir.
Silva membuka jaringan untuk Sepanyol seawal minit ke-14 setelah menerima hantaran silang Cesc Fabregas, yang membawa bola hingga ke hujung garisan sebelum melintangkan bola lalu mudah buat pemain Manchester City menanduk masuk ke dalam gawang yang kosong.
Itali cuba membalas serta merta apabila Mario Balotelli dijatuhkan di luar kotak penalti, namun sepakan percuma Andrea Pirlo gagal menemui sasaran namun Itali terus mengasak kubu Sepanyol.
Pertahanan Itali menerima tamparan hebat apabila terpaksa mengeluarkan Giorgio Chiellini pada minit ke-20 kerana kecederaan hamstring, lalu digantikan dengan Federico Balzaretti.
Antonio Cassano cuba menguji penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas pada minit ke-28 namun rembatan leretnya terus ke dalam dakapan Casillas pada ketika hantaran silang akan lebih membuahkan hasil buat Itali.
Alba kemudian menambah derita buat Itali apabila menggandakan kelebihan Sepanyol pada minit ke-41 hasil larian menakjubkan dari tengah padang untuk menerima hantaran Xavi Hernandez, lalu melorongkan bola melepasi Gianluigi Buffon.
Separuh masa kedua menyaksikan Itali cuba bangkit untuk memberikan cabaran menerusi Antonio di Natale, yang menggantikan Antonio Cassano, namun tandukan pemain Udinese itu melewati palang gol.
Derita Itali terus bertambah apabila Thiago Motta, yang baru sahaja empat minit dimasukkan menggantikan Silva, turut mengalami kecederaan hamstring. Ini menyebabkan Itali terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain setelah menggunakan kesemua pertukaran mereka.
Malapetaka sebenar Azzuri bermula pada minit ke-60 sebaik Thiago Motta ditimpa kecederaan hamstring. Pemain tengah itu hanya sempat bertahan selepas tiga minit di atas padang sebaik menggantikan Riccardo Motta dan memaksa juara 1968 itu berjuang dengan 10 pemain.
Sepanyol terus menggunakan kelebihan pemain tersebut untuk mendominasi Azzurri, memaksa anak-anak buah Cesare Prandelli bermain secara bertahan menyerap asakan Sepanyol.
Penguasaan mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-83 apabila Xavi sekali lagi memecahkan benteng Itali dengan hantaran tepat buat penyerang gantian, Fernando Torres yang mudah menewaskan Buffon.
Torres kemudian menjadi arkitek apabila pada minit ke-88 dia melorongkan bola kepada seorang lagi pemain gantian, Juan Mata yang mudah menolak bola ke dalam gawang yang telah ditinggalkan oleh Buffon.
No comments:
Post a Comment